KUANTAN – Dua anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini kerana meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1,000.
Muhammad Safwan Mazlan, 28 dan Muhammad Amir Aizad Zahid 31, masing-masing berpangkat konstabel dan koperal bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan didakwa telah meminta sejumlah wang tunai RM7,000 daripada pasangan kekasih di kawasan parkir terbuka berpalang Hotel Hyatt Teluk Cempedak di sini pada 19 Januari 2025 kira-kira 1.15 petang.
Bayaran itu didakwa sebagai balasan agar mereka dilepaskan selepas ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan berkhalwat.
Bagaimanapun, pasangan kekasih itu didakwa hanya menyerahkan wang berjumlah RM1,000 di kawasan parking terbuka IIUM Kuantan di sini keesokan harinya kira-kira 2 petang.
Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Suriawani Abdul Rahim manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Ahmad Syamsul Akmar Yusof dan Halimaton Saadiah Abu Samah.
Hakim Sazlina kemudian membenarkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh selain syarat tambahan tidak dibenarkan untuk mengganggu pengadu dan saksi pendakwaan kecuali pegawai penyiasat sepanjang perbicaraan.
Hakim turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan menetapkan tarikh 26 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















