Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bercakap pada sidang media berhubung barangan yang disita secara paksa bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85, iaitu kos yang masih belum dibayar kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak menyangka persefahaman penyelesaian kos pengurusan kes saman fitnah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok terhadapnya berakhir dengan tindakan sitaan kediamannya, hari ini.

Jamal berkata, walaupun kedua-dua pihak sudah mencapai persefahaman sebelum ini, namun Teresa didakwa melanggar persefahaman yang dicapai dan bertindak menuntut kos mahkamah itu melalui proses sitaan itu.

“Persefahaman memang ada, dia tahu, saya tahu, sudah ada dokumen pun, antara peguam saya dengan peguam dia beberapa bulan lepas, jadi tak perlu saya nak dedahkan di sini.

“Cuma apa yang dibuat itu adalah satu tindakan yang keterlaluan dan bersifat provokasi.

“Dia memang tak boleh nak ambil pun, dia boleh senaraikan dan mahkamah berikan tempoh 14 hari untuk menyelesaikan atau ada 14 barang untuk dilelong,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bercakap pada sidang media berhubung barangan yang disita secara paksa bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85, iaitu kos yang masih belum dibayar kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 JANUARI 2026

Terdahulu Teresa mendapat perintah Mahkamah Tinggi di sini untuk menyita harta alih milik Jamal bagi mendapatkan jumlah penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 sebagai kos yang belum dibayarnya.

Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Teresa selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.

Peguam, Datuk S.N. Nair yang mewakili Teresa (plaintif dalam ke saman terhadap Jamal) memberitahu, proses penyitaan itu dilakukan di kediaman Jamal di Ampang Jaya dekat sini hari ini dengan kehadiran bailif dan peguam wakil rakyat DAP itu.

Bayaran itu membabitkan kos guaman yang belum dibayar oleh Jamal, 56, berhubung kes saman fitnah Jamal yang mendakwa anak guamnya, Teresa, 62, telah menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Jamal juga tidak menafikan Ahli Parlimen DAP itu memenangi kes saman fitnah itu pada 2017, malah beliau sudah melunaskan bayaran saman berjumlah RM300,000 sebelum ini.

“Saya telah bayar lebih RM300,000 termasuklah kos untuk pergi sampai ke Mahkamah Rayuan, sebagai rakyat Malaysia yang menghormati undang-undang, bila mahkamah buat keputusan saya usahakan untuk bayar jumlah tersebut.

“Walaupun bagi saya jumlahnya amat besar tetapi kerana hormat dengan perintah mahkamah, saya telah selesaikan jumlah tersebut tetapi akhirnya setelah beberapa bulan barulah keluar balik tuntutan pengurusan lebih RM60,000,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast