KUALA LUMPUR – Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) memandang serius dan melahirkan rasa kecewa berhubung pendirian Kementerian Sumber Manusia yang menolak cadangan penetapan kadar lantai bagi perkhidmatan p-hailing.
PPRPM dalam satu kenyataan memaklumkan, penetapan harga atau kadar lantai adalah satu keperluan asas dan mendesak bagi melindungi kebajikan penunggang p-hailing.
Sehingga ke hari ini, katanya, majoriti penunggang masih bergelut dengan kadar upah yang semakin menurun, tidak seimbang dengan kos sara hidup, kos penyelenggaraan kenderaan serta risiko kerja yang ditanggung setiap hari.

Sehubungan itu, tanpa penetapan kadar lantai, PPRPM berpandangan Akta Pekerja GiG yang dirangka berisiko menjadi sebuah akta ‘separuh masak’ kerana gagal menangani isu paling utama yang membelenggu penunggang p-hailing saban hari.
“Selagi tiada harga lantai ditetapkan, kuasa mutlak masih berada di tangan syarikat platform manakala penunggang terus berada dalam keadaan tidak seimbang dan terdedah kepada eksploitasi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan yang berkata, kerajaan belum bercadang menetapkan satu kadar harga lantai tetap bagi setiap perjalanan rider (penghantar) namun perniagaan platform e-hailing dan p-hailing boleh mengambil langkah menyelaras bersama pekerjanya.
Menurut Ramanan, kerajaan mengambil pendekatan seimbang dalam melindungi kebajikan pekerja gig tanpa menekan majikan secara berlebihan.
Sementara itu, PPRPM turut menyuarakan kebimbangan berhubung pembentukan Majlis Perundingan GiG (MPG) yang diperuntukkan di bawah Akta Pekerja GiG.
Sehingga kini, katanya, masih timbul persoalan dan teka-teki mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai anggota majlis tersebut.
Tambahnya, PPRPM berharap keanggotaan MPG mengutamakan suara akar umbi khususnya wakil penunggang dan pengiat industri p-hailing secara langsung yang benar-benar memahami realiti, cabaran dan dinamika industri itu bukan didominasi oleh pihak berkepentingan yang jauh dari pengalaman sebenar di lapangan.
“PPRPM menegaskan bahawa sebarang dasar, akta atau mekanisme perlindungan yang ingin diperkenalkan mestilah berpaksikan keadilan, keseimbangan kuasa dan kelangsungan hidup penunggang, bukan sekadar retorik perlindungan tanpa penyelesaian kepada isu asas,” katanya. – MalaysiaGazette
















