Jamal Yunos

KUALA LUMPUR – Sejumlah 14 harta alih milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos disita secara paksa daripada kediamannya di Ampang Jaya dekat sini hari ini dengan kehadiran bailif Mahkamah Tinggi.

Barangan yang dirampas itu sedang menunggu pelupusan secara lelong bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 iaitu kos yang belum dibayar kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Peguam, Datuk S.N. Nair yang mewakili Teresa memberitahu pihak media, proses penyitaan selama hampir sejam dilakukan bermula pukul 11.42 pagi dan selesai pukul 12.36 tengah hari.

“Pelaksanaan tersebut dilakukan dengan kehadiran pegawai mahkamah, bailif, polis dan peguam G. Maniggandan dari firma guaman itu,” ujarnya.

Menurut Nair, pegawai mahkamah cuba menghubungi penghuni dengan memanggil dan membunyikan loceng pintu, namun tiada sebarang maklum balas.

Bagaimanapun, peguam itu memaklumkan anak dan menantu perempuan Jamal berada dalam rumah berkenaan.

Katanya, pegawai mahkamah kemudian mengarahkan kemasukan paksa dilakukan bagi mematuhi perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 23 Januari lalu.

Menurut Nair, bailif diberi kuasa untuk melakukan kemasukan paksa menggunakan kekerasan yang munasabah, mengikut undang-undang, sekiranya akses ke premis dinafikan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh memperoleh perintah Mahkamah Tinggi di sini untuk menyita harta alih milik Jamal bagi mendapatkan jumlah penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 sebagai kos yang belum dibayarnya.

Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Teresa selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa.

Nair memberitahu, Jamal telah menjelaskan bayaran RM300,000.

Pada 26 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi itu dan kos RM50,000.

Teresa memfailkan saman itu pada 6 April 2001, mendakwa Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah mengenainya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) semasa sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menegaskan bahawa kenyataan fitnah itu disebarkan menerusi media cetak dan elektronik termasuk di laman Facebook Jamal.

Teresa menyatakan, kenyataan Jamal itu memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi dan merupakan seorang yang tidak beretika. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Harta alih Jamal disita, bayar penghakiman tertunggak RM66,061 kepada Teresa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast