Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud (dua dari kanan) bergambar bersama Menteri Besar Pahang di pejabatnya semalam.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam berintegriti dan bebas rasuah.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, komitmen itu selari dengan kepentingan penghayatan prinsip Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) sebagai panduan utama dalam membentuk budaya kerja berintegriti dan berakauntabiliti.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Menteri Besar Pahang di Kuantan, Pahang semalam.

Kunjungan itu bagi memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan SPRM khususnya dalam aspek tadbir urus, integriti serta usaha pencegahan rasuah selaras dengan aspirasi Keep Malaysia Clean (KMC) dan pelaksanaan NACS 2024 – 2028.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan  pelbagai isu semasa berkaitan pengukuhan integriti dalam pentadbiran kerajaan negeri, pematuhan kepada prinsip ketelusan serta usaha berterusan membudayakan nilai-nilai integriti dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang turut menzahirkan penghargaan atas peranan dan komitmen SPRM dalam memastikan pentadbiran kerajaan sentiasa berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh inisiatif pencegahan rasuah termasuk program kesedaran awam dan pelaksanaan inisiatif di bawah agenda Keep Malaysia Clean serta NACS di peringkat negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast