KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes baharu wabak virus Nipah dilaporkan di negara ini sehingga kini susulan kejayaan membendung wabak penyakit itu sejak September 1999.
Bagaimanapun, KKM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara sporadik di beberapa negara lain.
Sehubungan itu, tambahnya, KKM terus memperkukuhkan kesiapsiagaan melalui saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), khususnya melibatkan pengembara dari negara berisiko.
“Pada masa yang sama, KKM turut mempertingkatkan pengawasan berterusan, pengukuhan kapasiti makmal negara, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan termasuk amalan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC), serta kerjasama rentas sektor dan antara agensi bagi melindungi kesihatan awam dan mencegah kemunculan semula Penyakit Nipah di negara ini,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pemantauan berterusan penyakit itu juga dipertingkatkan melalui kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan) melalui pendekatan One Health.
Setakat ini, katanya, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar.
Sementara itu, KKM menjelaskan, jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah, dan rembesan, pengambilan yang telah tercemar dan kontak dengan cecair badan individu dijangkiti.
Katanya, gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, batu bernafas, sawan, kekeliruan, dan kebingungan lazimnya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hingga ke 14 hari.
Ujarnya, komplikasi penyakit itu termasuk radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus.
“Penyakit ini wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegal Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
India kini berdepan dengan ancaman wabak virus Nipah selepas dua kes jangkitan pada manusia dikesan di Bengal sejak bulan lalu, sekali gus memaksa kebanyakan negara mengetatkan saringan di pintu masuk antarabangsa masing-masing. – MalaysiaGazette
















