Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan ketika keluar selepas mesyuarat di rumah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Setia Bakti, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JANUARI 2026.

DAMANSARA – Tiada pergolakan yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN).

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan, Pas dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masih mempunyai semangat setia kawan sehingga hari ini, kata Presiden MIPP, P.Punithan.

Beliau turut menekankan bahawa perikatan itu masih stabil dan mempunyai hala tuju yang jelas menjelang pilihan raya akan datang.

“Tidak adalah. Kami semua okay dalam proses bincang. Lepas ini kita akan jumpa dengan Pas.

“PN stabil, tidak ada apa isu.Kita nak buat perbincangan supaya ada hala tuju yang jelas.

“Tunggulah, janganlah semua tanya hari ini. Kita putuskan untuk maju ke depan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pra majlis malam ini.

Terdahulu MalaysiaGazette difahamkan mesyuarat pra majlis PN malam ini bermula sekitar 8.30 dan tamat selepas kira-kira dua jam kemudian.

Mesyuarat yang diadakan di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dihadiri oleh Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau dan Punithan.

Bagaimanapun, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak hadir malam ini.

“Pas tidak ada, tidak mengapa tapi kita akan jumpa dan berbincang dengan Pas,” tambah Punithan.

Media difahamkan mesyuarat pra majlis malam ini bertujuan untuk menentukan hala tuju PN selepas beberapa perkembangan berlaku sejak kebelakangan ini, termasuklah selepas Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi gabungan tersebut.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast