KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil 20,000 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu secara Contract of Service (CoS) bagi memenuhi keperluan guru di sekolah-sekolah seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, inisiatif pengambilan guru baharu ini adalah sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula pada tahun hadapan.
Proses pengambilan guru baharu ini mendapat kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Katanya, hebahan pengambilan guru akan dibuat pada 23 Februari 2026 dan permohonan dibuka dari 2 hingga 20 Mac.
Manakala proses saringan temuduga berlangsung antara 27 April hingga 14 Mei 2026.
Mohd Azam menambah, bagi memastikan aspek kompetensi guru terpelihara, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam pelbagai bidang pengkhususan.
Inisiatif ini adalah cerminan komitmen berterusan Kerajaan Madani bagi meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat anak-anak Malaysia. – MalaysiaGazette
















