PEKAN- Hospital Pekan hari ini melakar sejarah baharu apabila menjadi hospital pertama di Pahang yang menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (T&CM).
Tetapi ia adalah fasiliti kesihatan ke-16 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menawarkan perkhidmatan tersebut.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, pembukaan unit baharu ini merupakan satu inisiatif strategik KKM mengintegrasikan perubatan tradisional dengan perubatan moden, bertujuan menawarkan pilihan rawatan yang lebih komprehensif kepada penduduk sekitar daerah Pekan.

“Servis T&CM Hospital Pekan kini beroperasi sepenuhnya dengan memfokuskan kepada modaliti urutan Melayu tradisional.
“Perkhidmatan ini dikendalikan oleh pengamal perubatan tradisional yang bertauliah dan terlatih, serta dipantau rapi mengikut piawaian KKM bagi menjamin keselamatan dan kualiti rawatan,” katanya ketika majlis perasmian di Hospital Pekan hari ini.
Rawatan urutan Melayu tradisional di unit ini ditawarkan khusus sebagai rawatan sokongan bagi pesakit yang mengalami kesakitan kronik bagi mengurangkan kesakitan termasuk sakit belakang dan sakit otot rangka.
Selain itu, rawatan pemulihan pasca strok bagi membantu meningkatkan mobiliti dan mengurangkan kekejangan otot bagi pesakit yang telah stabil juga ditawarkan.
Tambah Razali, perkhidmatan yang terletak di Lobi Aras 2, Hospital Pekan, beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali pada cuti umum terbuka kepada pesakit yang dirujuk oelh pegawai perubatan.
“Bagi mendapatkan perkhidmatan ini, pesakit perlu dirujuk oleh pegawai perubatan atau pakar perubatan di klinik atau wad terlebih dahulu untuk memastikan kesesuaian rawatan kepada pesakit.
“Caj rawatan yang dikenakan adalah sangat berpatutan, iaitu RM20 bagi setiap sesi rawatan, selaras dengan Perintah Fi (Perubatan),” katanya.

Komplementari (T&CM) yang disediakan kepada pesakit yang telah dirujuk oleh pakar perubatan dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang
Berdasarkan statistik awal operasi dari November 2025 hingga hari ini, perkhidmatan ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan.
Sebanyak 29 kes telah didiscaj, dan lebih membanggakan, 27 daripada 29 pesakit tersebut mencatatkan pengurangan skala kesakitan.
Bagaimanapun, rawatan terhad kepada urutan pada permulaan sesi perkhidmatan dan tiada rawatan penyakit mistik luar konteks perubatan ditawarkan di pusat ini.
Beliau berharap perkhidmatan itu dapat memberikan impak positif kepada kualiti hidup pesakit, terutamanya dalam pengurusan kesakitan dan rehabilitasi fizikal melalui kaedah tradisional yang selamat dan berkesan. – MalaysiaGazette
















