Ramanan bersama komuniti India sempena sambutan Hari Ponggal di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia mengumumkan pelancaran Program Kemahiran VETRI MADANI 2026 (VETRI) di sini baru-baru ini.

Datuk Seri R. Ramanan berkata, ia selaras dengan bidang tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di samping mendokong aspirasi KESUMA.

Pelancaran diadakan bersempena sambutan Hari Ponggal peringkat kebangsaan yang menandakan perayaan musim menuai.

Ramanan berkata, Program Kemahiran VETRI MADANI sinonim dengan kejayaan menyempurnakan musim menuai.

“Vetri yang bermaksud ‘kemenangan’ mencerminkan komitmen KESUMA dalam membuka laluan kepada komuniti India Malaysia agar mereka dapat bangkit sekali gus membina masa depan yang lebih baik menerusi pembangunan kemahiran serta peluang penempatan pekerjaan.

“Melalui program inovatif ini, kami berhasrat untuk mewujudkan peluang bermakna yang menyokong pertumbuhan inklusif dan pembangunan tenaga kerja yang mampan,” ujarnya.

Program Kemahiran VETRI MADANI turut mengabsahkan komitmen HRD Corp dalam memajukan pembangunan bakat secara inklusif dengan melengkapkan komuniti India Malaysia dengan kemahiran untuk persediaan di masa hadapan yang dapat meningkatkan kebolehpasaran, menggalakkan mobiliti sosial sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Program itu direka untuk memperkasa komuniti India tempatan melalui latihan berstruktur yang mampu meningkatkan kualiti hidup dengan mewujudkan laluan pekerjaan serta peluang peningkatan kemahiran yang selari dengan keperluan industri.

Kursus yang akan ditawarkan merangkumi sektor-sektor utama berimpak tinggi dan strategik termasuk Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin, Keselamatan Siber dan Keselamatan Maklumat, Infrastruktur Awan dan Analitik Sains Data, Automasi, Robotik dan Industri 4.0, Semikonduktor serta Kejuruteraan Lanjutan Elektronik dan lain-lain.

Program kemahiran ini turut disokong oleh peruntukan dana sebanyak RM10 juta daripada Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sasaran melatih 2,000 peserta di seluruh negara.

Program berkenaan bertujuan meningkatkan kebolehpasaran dan menyokong peningkatan kemahiran profesional melalui pensijilan yang diiktiraf.

Bagi memastikan capaian menyeluruh di peringkat nasional dan pelaksanaan yang berkesan, HRD Corp akan bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri serta penyedia latihan yang berdaftar dengan HRD Corp.

Selaras dengan usaha HRD Corp dalam memastikan tadbir urus dan ketelusan yang baik, program itu akan ditadbir sepenuhnya secara dalam talian manakala kursus latihan akan ditawarkan secara fizikal atau hibrid.

Untuk maklumat lanjut dan terkini, sila layari https://hrdcorp.gov.my/vetri . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast