Antara kontena yang didapati membawa bahan terlarang import
Antara kontena yang didapati membawa bahan terlarang import

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan enam kontena yang membawa dagangan terlarang mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dalam operasi bersepadu di Pelabuhan Klang Barat semalam.

Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi bersepadu itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kastam, Pengurusan Pelabuhan Barat, Lembaga Pelabuhan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan SIRIM.

“Enam kontena telah diperiksa di tapak pemeriksaan 01RG Pelabuhan Klang Barat. Hasil pemeriksaan, enam kontena didapati membawa bahan terlarang import dan telah ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, kontena berkenaan mengandungi sisa elektronik (eWaste) dan wayar kuprum dengan jumlah berat keseluruhan sebanyak 158,167 kilogram, termasuk papan litar eWaste, fius, bahan kuprum dan fius industri.

Kontena yang ditahan mengandungi sisa elektronik (eWaste) dan wayar kuprum
Kontena yang ditahan mengandungi sisa elektronik (eWaste) dan wayar kuprum

Antaranya adalah papan litar seberat 25,051 kilogram; fius dan papan litar eWaste seberat 28,883 kilogram; fius industri eWaste seberat 24,093 kilogram; papan litar dan bahan kuprum eWaste seberat 26,354 kilogram; fius, papan litar dan bahan kuprum eWaste seberat 23,486 kilogram; dan wayar kuprum seberat 30,300 kilogram.

“Kontena-kontena eWaste ini akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan JAS Pusat bagi tujuan eksport semula,” katanya.

Nik Ezanee menegaskan, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau menambah, AKPS akan terus memperkukuh pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast