ALOR GAJAH — Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah membantu memindahkan seorang guru lelaki obesiti seberat kira-kira 350 kilogram di rumahnya di Taman Seri Gamelan di sini awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan secara talian terus ke balai kira-kira 2.56 pagi.
Menurutnya, sebaik pasukan diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Zaidi Kadiron tiba, didapati seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun berada dalam keadaan lemah di bilik air dan tidak mampu bergerak walaupun dibantu isteri untuk mengangkatnya.
“Mangsa merupakan pesakit obesiti dengan anggaran berat 350 kilogram yang memerlukan bantuan khas pasukan bomba untuk mengangkatnya keluar dari bilik air yang agak sempit.
“Lapan anggota bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memindahkan guru lelaki terbabit menaiki lori angkut bomba,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd Hafidzatullah, masa yang lama juga terpaksa diambil apabila mangsa memerlukan waktu untuk bertenang kerana menahan kesakitan akibat jangkitan kuman pada kaki selain mengidap lelah.
“Isteri mangsa memaklumkan, suaminya merupakan seorang guru dan mengalami demam sejak lebih seminggu lalu serta berehat di rumah selepas mendapat cuti sakit.
“Mangsa turut mempunyai sejarah penyakit lelah dan berada dalam keadaan tidak bermaya kerana kurang selera makan menyebabkan beliau tidak mempunyai tenaga untuk bergerak,” katanya.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Alor Gajah di sini menaiki lori angkut bomba untuk rawatan lanjut — MalaysiaGazette
















