KUALA LUMPUR – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Machang, Kamaruddin Ab Kadir mendesak Lembaga Disiplin Bersatu supaya memecat Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal secara muktamad tanpa sebarang penangguhan atau kompromi.
Menurutnya, tindakan menggantung Wan Ahmad Fayhsal selama satu penggal adalah tidak memadai dan terlalu lunak berbanding kerosakan yang dilakukan terhadap parti khususnya terhadap Bersatu Bahagian Machang.
Jelasnya, Wan Ahmad Fayhsal telah berulang kali menunjukkan sikap tidak menghormati disiplin parti, mencabar keputusan kepimpinan serta mencetuskan kekeliruan dan perpecahan di peringkat bahagian.
“Lebih serius, beliau didakwa membuat aduan terhadap pemilihan dan persidangan Bersatu Bahagian Machang dengan menggunakan SD palsu, satu perbuatan yang amat berat, berniat jahat dan jelas mencemarkan proses demokrasi dalaman parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Kamaruddin mendesak Lembaga Disiplin Bersatu menyegerakan tindakan terhadap aduan-aduan yang telah dikemukakan ke atas Wan Ahmad Fayhsal khususnya berkaitan penggunaan SD palsu tersebut.
Ujarnya, isu itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia melibatkan integriti parti dan keabsahan kepimpinan bahagian.
Dalam masa sama, beliau turut menuntut Wan Ahmad Fayhsal dikeluarkan serta-merta daripada senarai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan ditukar statusnya kepada Ahli Parlimen Bebas.
Wan Ahmad Fayshal merupakan Ahli Parlimen Machang.
“Individu yang terus menyerang parti, mencabar kepimpinan dan merosakkan struktur dalaman tidak boleh terus berlindung di sebalik nama dan logo PN,” kata Kamaruddin.
Tambahnya, Lembaga Rayuan Bersatu tidak perlu sama sekali mempertimbangkan sebarang rayuan daripada Wan Ahmad Fayhsal atau bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Dakwa beliau kedua-duanya jelas tidak menunjukkan sebarang penyesalan sebaliknya terus menyerang parti dan Institusi Presiden Bersatu secara terbuka.
“Memberi ruang rayuan kepada individu sebegini hanya akan melemahkan disiplin dan autoriti parti,” katanya.
Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu membuat keputusan memecat keahlian Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, manakala keahlian Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang digantung selama satu penggal. – MalaysiaGazette
















