GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendedahkan kepada umum laporan teknikal berkaitan hakisan pantai yang semakin serius di Batu Feringgi dan Tanjong Bungah.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, pendedahan laporan berkenaan penting bagi membolehkan semua pihak berkepentingan memahami punca sebenar hakisan serta langkah mitigasi yang perlu diambil, khususnya penduduk dan pemilik harta yang terkesan akibat kehilangan pantai dan kerosakan harta benda.
Menurutnya, kebimbangan yang dibangkitkan pertubuhan masyarakat sivil tidak seharusnya diketepikan atau dianggap tidak berasas, terutamanya apabila kerja penambakan berskala besar sedang dilaksanakan di sekitar Pulau Pinang tanpa pendedahan kajian teknikal atau laporan saintifik kepada umum.

“Sekadar mengatakan bahawa hakisan pantai yang teruk disebabkan oleh faktor semula jadi adalah paling tidak bertanggungjawab dan tidak saintifik.
“Adalah penting bagi menetapkan atau mengetepikan kenyataan menerusi penyiasatan teknikal bahawa kerja penambakan tidak memberi kesan kepada pergerakan ombak, pemendapan dan hakisan di sepanjang garis pantai,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Meenakshi turut menegaskan, penilaian menyeluruh perlu mengambil kira kesan kumulatif dan implikasi jangka panjang, bukannya sekadar menolak kebimbangan pihak berkaitan dengan alasan punca semula jadi semata-mata.
Katanya, JPS sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pengurusan persisiran pantai perlu memastikan laporan teknikal berkaitan didedahkan kepada umum selaras dengan prinsip tadbir urus baik dan ketelusan oleh kerajaan negeri.
“Bukan sahaja SAM yang menyuarakan kebimbangan serius terhadap hakisan teruk tetapi juga pihak hotel dan Persatuan Penduduk Tanjong Bungah, malah penduduk berhampiran turut menyaksikan kehilangan pantai yang merupakan aset awam penting.
“Terdapat juga kebimbangan terhadap keselamatan bangunan mereka.
“Justeru, SAM berharap kerajaan negeri akan memenuhi permintaan kami dan mendedah kepada umum laporan teknikal JPS mengenai hakisan pantai di kawasan terbabit,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Media sebelum ini melaporkan hakisan pesisiran pantai di Batu Ferringhi di sini, yang berlaku setiap tahun akibat Monsun Timur Laut kali ini menunjukkan keadaan lebih buruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari mengakui, keadaan itu mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pengunjung serta kelangsungan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.
Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyebabkan hakisan pantai semakin memburuk di kawasan terlibat. – MalaysiaGazette
















