KLUANG – Sebuah ladang dengan tanaman kelapa sawit dan nanas seluas 8.9 hektar di Simpang Renggam dekat sini musnah dalam kebakaran yang berlaku sejak kelmarin.
Kebakaran di ladang tanah gambut tersebut melibatkan pokok sawit seluas 4 hektar manakala 4.8 hektar lagi membabitkan pokok nanas.
Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Siti Hajar Sanusi berkata, maklumat kejadian dimaklumkan kepada pihaknya pada pukul 8.34 malam kelmarin.
“Tindakan pemadaman awal pada pukul 9 pagi semalam sebelum langkah susulan dilakukan hari ini melibatkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dibantu 11 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpang Renggan dan Layang-Layang serta 20 pekerja ladang.
“Untuk langkah awal, tindakan pemadaman menggunakan semburan cara terus ke tanah menggunakan sumber air terbuka, bantuan air ladang serta menggali parit bagi menghalang kemerebakkan api,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata, buat masa ini hanya BBP Renggam terlibat dalam operasi itu manakala bantuan anggota balai Zon Tiga hanya akan digerakkan sekiranya memerlukan dan tidak terkawal.
Menurut Siti Hajar lagi, jangka masa pemadaman bergantung kepada keadaan semasa namun sekiranya berlaku hujan mungkin dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh satu atau dua hari.
Setakat hari kedua operasi katanya, hanya 25 peratus daripada 8.9 hektar kawasan kebakaran sudah berjaya dipadamkan dan keadaan angin kuat menjadi punca api cepat merebak.
“Punca air melalui longkang yang terdapat di kebun kelapa sawit memudahkan lagi operasi pemadaman manakala di kebun nanas menggunakan lori tangki PBS dan pengurusan ladang serta parit berdekatan.
“Apa yang membimbangkan sekarang ialah kawasan penduduk terletak hanya kira-kira satu kilometer dari tempat kebakaran,” katanya.- MalaysiaGazette
















