JOHOR BAHRU – Mengaitkan sentimen pengundi Cina merindui era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang sering dikaitkan dengan isu rasuah adalah gambaran tidak adil dan tidak tepat.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Jalex Lee En Xiang berkata, pengundi Cina seperti juga pengundi lain di negara ini bersifat rasional dan matang dalam menilai.
Jelasnya yang juga Ketua AMK Cabang Tebrau, mereka berkeupayaan menilai prestasi serta integriti kepimpinan berdasarkan prinsip tadbir urus yang baik dan ketelusan.
Justeru, katanya, dakwaan Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Amira Aisya Abdul Aziz bahawa segelintir pengundi Cina mula ‘rindukan’ zaman pentadbiran Najib adalah tidak tepat.
“Kenyataan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi mengelirukan masyarakat,khususnya dalam suasana politik semasa yang menuntut kejelasan dan ketepatan fakta.
“Sebagai wakil rakyat dan ahli politik, setiap kenyataan awam mestilah berlandaskan data yang sahih serta membawa kredibiliti.
“Segala pandangan yang dikemukakan kepada rakyat perlu disandarkan kepada fakta yang benar, bukannya andaian atau sentimen yang tidak dapat dibuktikan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tanggungjawab pemimpin atau wakil rakyat adalah menyampaikan maklumat yang tepat, membezakan fakta daripada spekulasi serta menolak budaya menyebarkan naratif tidak berasas.
Dalam masa yang sama, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menunjukkan komitmen yang jelas terhadap pelaksanaan agenda reformasi.
“Saya yakin usaha-usaha reformasi ini akan terus diperkasakan dan dipercepatkan demi memenuhi aspirasi rakyat,” ujarnya.
Kelmarin, Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata demikian dan dakwanya perkara itu sering disuarakan masyarakat Cina dalam pertemuan bersama-samanya melalui sesi kaunter bergerak. – MalaysiaGazette
















