DUNGUN – Seekor tapir jantan dewasa seberat kira-kira 300 kilogram (kg) dilaporkan mati selepas dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian di Kilometer 8, Jalan Bandar Al-Mukhtafi Billah Shah (AMBS)-Paka, malam semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam itu dilaporkan berlaku berhampiran Kampung Santong ketika hidupan liar tersebut dipercayai sedang melintas jalan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan pemeriksaan awal mendapati haiwan berkenaan mengalami kecederaan serius.
”Pemeriksaan di lokasi menemukan kesan kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan tapir berkenaan yang menyebabkannya mati di tempat kejadian.
Tapir tersebut dipercayai sedang melintas dari satu kawasan hutan ke hutan berhampiran,” katanya.
Difahamkan, haiwan tersebut dirempuh oleh sebuah kereta jenis Volkswagen yang dipandu oleh seorang guru lelaki berusia 49 tahun.
Pemandu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Dua anggota Perhilitan telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan proses pengambilan bangkai untuk tujuan pelupusan.
Pihak Perhilitan menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan mengurangkan kelajuan apabila melalui kawasan yang mempunyai papan tanda lintasan hidupan liar, terutamanya pada waktu malam bagi mengelakkan kepupusan spesies yang dilindungi ini. – MalaysiaGazette
















