Mohd Hairi Md Shah

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Hairi Mad Shah kesal dengan kenyataan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad yang cuba membina persepsi kononnya kerajaan negeri enggan atau tidak prihatin terhadap isu status tanah Kampung Melayu Majidee.

Hairi menegaskan, hakikatnya, isu berkenaan sudah lama wujud dan penyelesaiannya tidak mudah seperti yang digambarkan Dzulkefly dalam kenyataannya.

“Beliau sendiri pernah berada dalam sistem pentadbiran negeri sebagai Exco dan mempunyai kedudukan untuk mengemukakan dasar serta keputusan.

“Jika benar perkara ini semudah yang digambarkan hari ini, mengapa tiada pelaksanaan menyeluruh ketika memegang jawatan?

“Memberi gambaran seolah-olah isu ini boleh diselesaikan hanya dengan satu keputusan politik, tanpa menjelaskan implikasi undang-undang, dasar tanah negara dan risiko pasaran, adalah tidak adil kepada penduduk serta tidak jujur daripada sudut tadbir urus,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Dzulkefly selepas tidak lagi memikul tanggungjawab sebagai Exco terbabit cuba menjadi ‘hero rakyat’ sedangkan sebelum ini tidak lantang memperjuangkannya.

“Isu tanah bukan bahan ceramah politik, ia melibatkan undang-undang, dasar nasional, struktur pemilikan komuniti dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Naratif yang dibawakan katanya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Pusat, seolah-olah kerajaan hari ini tidak peduli adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab.

“Isu ini bukan soal emosi dan bukan permainan politik. Ia menyentuh undang-undang tanah negara, perlindungan komuniti Melayu bandar serta tanggungjawab kerajaan mengurus sumber tanah secara berhemah.

“Di bawah Kanun Tanah Negara, khususnya Seksyen 76(aa), pemberimilikan tanah secara pegangan kekal kepada individu hanya boleh dipertimbangkan dalam keadaan khas yang diperincikan melalui ketetapan Majlis Tanah Negara,” ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan penelitian rekod sejarah, tanah di Kampung Melayu Majidee telah dikurniakan sebagai pegangan pajakan sejak penubuhannya pada tahun 1951.

“Status ini tidak termasuk dalam kategori keadaan khas yang membolehkan pertukaran kepada pegangan kekal. Ini bukan soal tidak mahu, tetapi soal terikat dengan peruntukan undang-undang,” katanya.

Sebagai wakil rakyat di Larkin, beliau mendengar dan meneliti hujah penduduk berkaitan jaminan pemilikan jangka panjang, akses pembiayaan lebih baik dan potensi pampasan lebih tinggi jika berlaku pengambilan balik tanah.

Atas sebab itu, katanya, pendekatan kerajaan negeri adalah melalui langkah pentadbiran yang lebih praktikal dan berterusan, termasuk memudah cara sambung pajakan, mempercepat pertimbangan permohonan serta menyediakan insentif pengurangan premium bagi meringankan beban penduduk.

Jelasnya, pendekatan itu memberi jaminan kelangsungan komuniti tanpa mendedahkan mereka kepada risiko pasaran yang tidak terkawal.

Selain itu, kata Hairi, dalam konteks bandar, apabila status bertukar kekal dan nilai hartanah meningkat, wujud kecenderungan pemilik menjual kerana tawaran tinggi.

“Pembelian berlapis akhirnya memecahkan komuniti dan menghakis identiti penempatan tradisi Melayu. Kerajaan negeri tidak mahu Kampung Melayu Majidee menjadi komoditi pasaran sehingga akhirnya tinggal nama semata-mata,” katanya.

Katanya lagi, jika hak milik kekal diberi tanpa kawal selia, tanah boleh bertukar menjadi aset spekulasi contohnya hari ini dapat hak milik kekal, esok atau lusa penduduk dikhuatiri akan menjualnya.

Akhirnya kampung tergadai sedangkan matlamat utama kerajaan ialah memastikan penempatan itu kekal sebagai tempat tinggal mereka membesar, berkeluarga dan mengekalkan identiti warisan, bukan aset untuk diperdagangkan, katanya.

“Atas sebab itu, Kampung Melayu Majidee termasuk dalam kawasan tumpuan komuniti Melayu bandar atau Malay Belt di Bandaraya Johor Bahru dan sedang diberi perhatian melalui Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kampung Tradisi Bandaraya Johor Bahru,” katanya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor itu, RKK berkenaan disediakan selaras dengan Seksyen 16B Akta 172 sebagai rancangan pembangunan pelaksanaan segera.

“RKK ini bertujuan memulihara kawasan Kampung Melayu Majidee melalui perancangan lebih tersusun dengan penglibatan masyarakat serta agensi berkaitan.

“Ia merangkumi strategi meningkatkan kualiti hidup penduduk, pemerkasaan ekonomi tempatan, penambahbaikan infrastruktur asas dan pemeliharaan identiti warisan komuniti Melayu bandar,” katanya.

Proses penyediaan RKK, katanya, turut melibatkan penduduk tempatan dan agensi kerajaan serta akan diwarta bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar serius dan berkesan.

“Kerajaan negeri akan terus mendengar suara rakyat serta meneliti ruang penambahbaikan dasar. Namun keputusan berkaitan tanah mesti dibuat secara berhemah, berhati-hati dan berpandangan jauh,” katanya.

Tanggungjawab kerajaan bukan hanya kepada pemilik hari ini katanya, tetapi kepada generasi akan datang.

Beliau berharap tiada pihak mengambil kesempatan membina sentimen yang mengelirukan rakyat demi kepentingan politik jangka pendek.

Pada 20 April lalu, media melaporkan bahawa lebih 40,000 penduduk kampung itu terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada Tanah Rizab Melayu (TRM) berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.

Tempoh pajakan TRM kampung berkenaan dijadual berakhir pada 2053, iaitu 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka, termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.

Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar.

Pada 26 Januari lalu pula, Dzulkefly mendakwa, kerajaan Johor sebenarnya mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk meluluskan permohonan TRM oleh penduduknya daripada status Hakmilik Pajakan (leasehold) kepada Hakmilik Kekal (freehold) sepertimana yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast