Anggota bomba dibantu pekerja ladang memadam kebakaran ladang kelapa sawit dan nanas di Sungai Linau, Simpang Renggam, Kluang hari ini

KLUANG – Operasi bomba di ladang kelapa sawit dan nanas di Sungai Linau, Simpang Renggam di sini setakat pukul 11.30 pagi tadi, hanya berjaya memadamkan 35 peratus daripada keseluruhan 8.9 hektar yang terbakar.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Hajar Sanusi berkata, ini kerana pihaknya berdepan pelbagai cabaran terutama faktor cuaca dalam usaha memadam kebakaran di ladang milik Peninsular Plantations Sdn Bhd itu.

“Kebakaran di tanah gambut tersebut yang berlaku sejak empat hari lalu, berdepan pelbagai cabaran seperti sumber air dan keadaan cuaca panas serta berangin.

“Kebakaran di tanah gambut menyukarkan kerja pemadaman kerana api merebak di bawah permukaan tanah dan memerlukan tempoh masa panjang untuk dikawal sepenuhnya.

“Keadaan tanah gambut yang kering meningkatkan risiko kebakaran merebak ke kawasan berhampiran, sekali gus memerlukan pemantauan rapi dan operasi pemadaman secara berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja menggali untuk kaedah ‘fire break’ sepanjang 350 meter sudah disiapkan daripada sasaran 500 meter.

Usaha tersebut ujarnya, dijangka siap sepenuhnya hari ini bagi mengekang pergerakan api namun risiko merebak masih wujud selagi keadaan kering berterusan.

Jelas beliau, seramai 28 anggota bomba termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bersama 22 pekerja ladang serta satu jentera bomba dan lima lori tangki air terbabit operasi pemadaman.

Selain itu, ujarnya sembilan unit alat pemadaman api GS Mark II dipasang dan beroperasi 24 jam, manakala kaedah pemadaman tompokan dan pemantauan berkala dijalankan di semua sektor operasi sejak Jumaat lalu.

“Bagi memperkukuh operasi, bantuan tambahan melibatkan dua lori tangki air dari Majlis Perbandaran Kluang (MPK), satu lori tangki air dari Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) serta pam air daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan kaedah pembanjiran menyeluruh di sektor kebakaran turut digerakkan.

“Bekalan air turut dibantu oleh Syarikat Air Johor (SAJ) bagi memastikan operasi pemadaman dapat diteruskan tanpa henti sehingga kebakaran dipadam sepenuhnya,” katanya.

Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan kebakaran tidak melibatkan kawasan penempatan penduduk.

Kebakaran di ladang tersebut terletak kira-kira 1 kilometer dari rumah penduduk.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast