JOHOR BAHRU – Pas sewajarnya meninggalkan Perikatan Nasional (PN) atau bergerak solo dalam meneruskan survival politiknya susulan krisis politik terbaharu parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, Pas boleh juga segera tubuhkan sebuah lagi gabungan politik baharu tanpa penglibatan Bersatu.
Dakwa Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai itu, ini kerana Pas sudah ditipu Bersatu dalam isu kononnya Pas bersetuju memansuhkan jawatan Pengerusi PN.
“Siapa bohong? Pas atau Bersatu? Sewajarnya Pas sebagai parti terkuat dan terbesar dalam PN. Apabila dirasakan dipermainkan sebegini, Pas patut tinggalkan saja PN dan bergerak solo dalam arena politik tanah air.
“Atau Pas segera tubuhkan sebuah lagi gabungan tanpa Bersatu atau singkirkan Bersatu dan kekal dalam PN bersama-sama Parti Gerakan Tanah Air (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Ini lebih relevan untuk survival politik Pas. Bersama Bersatu dalam keadaan tidak menentu, dipermainkan, ditipu begini hanya melemahkan Pas dan mengikis keyakinan rakyat terhadap Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pas kelihatan lemah dan parti tersebut tidak sepatutnya takut untuk membuat keputusan.
Faezuddin mencadangkan Pas bertanding di semua kerusi Melayu yang sekarang ini ditandingi Bersatu dan menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang.
Tegasanya, Pas perlu membuat keputusan segera kerana pilihan raya mungkin tidak lama lagi.
Rabu lalu, Pas dalam satu surat kepada presiden-presiden parti komponen PN, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa jawatan Pengerusi PN telah dimansuhkan susulan cadangan penstrukturan semula gabungan itu.
Selain itu Pas juga menegaskan bahawa naratif tersebut tidak pernah dibincangkan apatah lagi dipersetujui oleh Pas, termasuk dalam mesyuarat pada 16 Januari lalu.- MalaysiaGazette
















