KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menegaskan isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan perlu ditangani melalui saluran undang-undang sedia ada, tanpa dipengaruhi sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Ketua Penerangannya, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, sebarang pembinaan struktur tanpa kebenaran berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan agensi penguat kuasa berkaitan.
“Perkara ini sewajarnya ditangani melalui peraturan serta penguatkuasaan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya hari ini.
Katanya, undang-undang sedia ada memberi kuasa jelas kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, mengeluarkan notis serta mengambil tindakan sewajarnya.
Sebagai sayap yang mewakili masyarakat bukan Islam dalam Parti Islam Se-Malaysia, DHPP berpandangan pendekatan berasaskan penguatkuasaan undang-undang secara adil dan konsisten adalah langkah paling wajar dalam menangani isu sensitif melibatkan agama.
Balachandran berkata naratif awam berkaitan isu berkenaan perlu dikendalikan dengan cermat bagi mengelakkan salah faham serta ketegangan antara komuniti.
“Tumpuan seharusnya diberikan kepada aspek pematuhan undang-undang dan penambahbaikan sistem pemantauan serta kelulusan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kepimpinan yang membawa imej Islam perlu bertindak dengan hikmah dalam mengurus isu berkaitan masyarakat majmuk. -MalaysiaGazette
















