KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa dengan insiden membakar suar oleh penyokong bola sepak Selangor di Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge), kelmarin.
Istana Alam Shah menerusi kenyataan memaklumkan, Sultan Selangor selaku Penaung Selangor FC turut menzahirkan rasa tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.
Sehubungan itu, baginda mahu agar pihak polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.
“la sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” titah baginda menerusi kenyataan di laman sosial Selangor Royal Office hari ini.
Kenyataan itu menambah, Sultan Selangor turut bertitah menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.
“Baginda turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu,” jelas kenyataan itu.
Semalam, seramai 33 penyokong bola sepak Selangor direman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Terengganu susulan kejadian mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di sepanjang laluan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mereka antara 400 penyokong yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi menjalani pemeriksaan saringan air kencing.
Terdahulu tular beberapa video penyokong Selangor FC berarak dari arah Bandaraya Kuala Terengganu menuju ke Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar ketika di berada di jambatan itu.
Perbuatan itu mencetuskan kemarahan warga maya yang menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette
















