TASEK GELUGOR – MUDA Pulau Pinang mendakwa penduduk Kampung Selamat di sini, masih terpaksa hidup dengan pencemaran sungai dan bau busuk akibat penternakan babi walaupun isu itu telah melalui beberapa pertukaran kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.
Pengerusinya, Andika Putera berkata, impak isu tersebut menyebabkan penduduk setempat sehingga kini terpaksa menanggung kesan pencemaran alam sekitar yang menjejaskan kualiti hidup serta membimbangkan dari sudut kesihatan awam.
“Suatu ketika dahulu suara penduduk kampung mungkin tidak diendahkan atas alasan komuniti yang kecil dan terpencil, namun realitinya kini kawasan sekitar Kampung Selamat telah pesat membangun dengan pertambahan kawasan perumahan dan kepadatan penduduk.
“Keadaan itu menjadikan isu pencemaran berkenaan semakin kritikal dan tidak lagi boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Andika, MUDA Pulau Pinang menegaskan setiap pembangunan perumahan seharusnya dirancang secara menyeluruh dan kerajaan negeri serta pihak pemaju perlu bertanggungjawab sebelum sebarang projek diluluskan.
“Kerajaan negeri dan pihak pemaju perlu berbincang secara telus dan bertanggungjawab bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian mampan sebelum sebarang projek diluluskan, bukannya meluluskan pembangunan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada penduduk.
“Justeru kita menggesa kerajaan negeri mengambil pendirian lebih tegas dengan memulakan perbincangan serius bersama pengusaha ternakan babi bagi mempertimbangkan pemindahan operasi ke kawasan yang lebih sesuai dan jauh dari penempatan penduduk.
“Isu yang berlarutan lebih berdekad ini tidak boleh terus diwariskan kepada generasi seterusnya. Penduduk berhak hidup dalam persekitaran yang bersih, selamat dan bermaruah,” katanya. – MalaysiaGazette
















