KUANTAN – Peladang Negeri Pahang (PASFA) mengagihkan dividen berjumlah RM1.508 juta bagi keuntungan tahun 2025 kepada peserta E-Kasihnya hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM780,518 bagi tahun sebelumnya yang diagihkan kepada 500 orang peserta.
“Syabas dan tahniah kepada PASFA kerana berjaya membayar dividen kepada 750 orang peserta di mana setiap peserta akan mendapat RM2,011 ringgit seorang.
“Ini membuktikan bahawa program pembangunan ekonomi luar bandar yang dirancang dengan baik mampu memberikan manfaat secaral angsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Dividen Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Ladang Bukit Gayong Kepada Peserta E-Kasih di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PASFA, Datuk Zamri Yaakob serta barisan Exco Negeri Pahang.
Tambah Wan Rosdy, Projek Integrasi Lembu dan Sawit memberikan pulangan yang memberangsangkan dan dividen yang diagihkan hari ini adalah hasil usaha keras dan kerjasama semua pihak.
Selain itu, katanya, pembayaran dividen itu menjadi lebih bermakna dengan sambutan bulan Ramadan tidak lama lagi yang akan disusuli perayaan Aidilfitri.

“Ini adalah satu tanda penunjuk bahawa sekiranya diuruskan dengan baik, kita akan mendapat hasil yang baik. Ini satu kejayaan kepada kita semua
“Kepada peserta semua, saya harap mereka dapat berbelanja. Saya yakin ini boleh sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah kewangan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















