KUANTAN – Seorang pejalan kaki maut dilanggar sebuah kereta ketika menyeberangi jalan di kilometer 13.5, Lingkaran Tengah Utama (CSR), Bentong kira-kira jam 2.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, identiti mangsa bagaimanapun tidak dapat dikenalpasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri.
“Hasil siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi ketika itu dalam perjalanan dari arah Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di tempat kejadian, seorang lelaki warganegara tempatan berusia lingkungan umur 30 hingga 35 tahun dipercayai melintas secara tiba-tiba dari pembahagi jalan menyebabkan kereta tidak sempat mengelak dari melanggarnya,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Zaiham, akibat kemalangan itu, mangsa telah diseret sejauh kira-kira 10 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemeriksaan ke atas mangsa yang memakai baju kurta berwarna ungu gelap dan berseluar jeans berwarna hitam di kawasan kemalangan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pihak polis memohon mana-mana waris yang kehilangan ahli keluarga tampil ke Bahagian Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk pengesahan,” katanya.
Zaiham berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian terbabit turut diminta tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















