KENYATAAN akbar Pemuda Pas Wilayah Persekutuan berkenaan isu pilihan raya Datuk Bandar.

KUALA LUMPUR – Cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur sekiranya dilaksanakan secara tergesa-gesa atau bermotif politik bakal mencetuskan krisis tadbir urus bandar paling besar sejak Kuala Lumpur diisytihar Wilayah Persekutuan pada 1974.

Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, cadangan itu bukan isu pentadbiran semata-mata, sebaliknya menyentuh teras Perlembagaan Persekutuan, struktur kuasa Persekutuan–Wilayah, keseimbangan demografi bandar serta prinsip keadilan sosial.

Tegasnya, Kuala Lumpur bukan bandar raya biasa tetapi Wilayah Persekutuan yang diletakkan secara langsung di bawah Kerajaan Persekutuan melalui Perkara 154 dan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

“Memilih Datuk Bandar melalui pilihan raya tanpa rombakan menyeluruh kerangka Perlembagaan adalah penyederhanaan berbahaya terhadap struktur Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, cadangan itu turut memperlihatkan kelemahan antaranya Datuk Bandar yang dipilih secara langsung akan memiliki legitimasi politik lebih kuat berbanding ahli Parlimen.

Selain itu, kata beliau, Datuk Bandar yang dipilih secara langsung itu juga berpotensi mengabaikan nasihat wakil rakyat, selain menjadi “political strongman” bandar tanpa mekanisme pemecahan kuasa.

“Ini lebih berbahaya daripada sistem lantikan sedia ada yang tertakluk kepada kawalan Kabinet dan Parlimen,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Azmer Syazwan, pihaknya mencadangkan supaya Majlis Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diperkukuhkan dengan kuasa semak imbang sebenar sebagai alternatif kepada pilihan raya Datuk Bandar.

Selain itu, katanya, wakil komuniti projek perumahan rakyat (PPR); orang Melayu bandar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diwujudkan di dalam struktur perancangan bandar, manakala Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 perlu diaudit.

Dalam masa sama, ujar beliau, pihaknya memberi amaran awal dan terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh supaya tidak menjadikan Kuala Lumpur makmal eksperimen politik.

Tegasnya, Hannah juga diingatkan tidak menggadaikan kestabilan bandar demi tuntutan ideologi tertentu dan menguji kesabaran rakyat bandar yang sedang bergelut dengan kos sara hidup, perumahan dan keselamatan.

“Pas Wilayah Persekutuan tidak akan berdiam diri sekiranya langkah ini diteruskan tanpa konsensus nasional; perlindungan Perlembagaan dan jaminan keadilan sosial sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast