KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) menyelar insiden melibatkan segelintir kecil penyokong pasukan bola sepak Selangor di Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge), petang kelmarin.
Selangor FC dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang bentuk tingkah laku yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan orang ramai.
Tegasnya, salah laku sedemikian bercanggah dengan nilai-nilai yang diperjuangkan oleh Selangor FC dan komuniti bola sepak Selangor.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya percaya insiden tersebut akan dijadikan iktibar oleh semua pihak dan berharap setiap penyokong akan sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab, saling menghormati serta bersatu padu demi memupuk budaya sokongan bola sepak yang lebih positif dan sihat.
“Selangor FC sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana kumpulan penyokong dan akan terus memberi kerjasama penuh dengan pihak-pihak berkuasa dalam menjamin keselamatan dan memperkasakan kemeriahan sukan bola sepak tempatan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Selangor FC turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu atas tindakan tegas yang diambil bagi melindungi ketenteraman dan keselamatan warga awam.
Semalam, seramai 33 penyokong bola sepak Selangor direman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Terengganu susulan kejadian mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di sepanjang laluan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, petang kelmarin.
Semua yang ditahan dibawa ke mahkamah jam 10.15 pagi dan difahamkan mereka dipercayai melakukan perbuatan itu di sepanjang laluan Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mereka antara 400 penyokong yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi menjalani pemeriksaan saringan air kencing.
Terdahulu tular beberapa video penyokong Selangor FC berarak dari arah Bandaraya Kuala Terengganu menuju ke Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar ketika di berada di jambatan itu.
Perbuatan itu mencetuskan kemarahan warga maya yang menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette
















