Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika gimik perasmian Program Waqaf Al-Quran ke-19 Peringkat Kebangsaan di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 03 FEBRUARI 2026.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pelaksanaan skim potongan gaji (SPG) secara sukarela melibatkan kakitangan kerajaan, badan berkanun serta sektor swasta bagi memastikan kelangsungan dan peluasan Program Wakaf al-Quran.

Ahmad Zahid yang juga Penaung Program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan berkata, beliau turut berharap agensi yang menguruskan pemotongan gaji seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) tidak mengenakan sebarang bayaran bagi tujuan tersebut.

Selain itu, beliau turut menyeru ahli-ahli koperasi di seluruh negara turut menyumbang menerusi Angkasa kepada program wakaf al-Quran khususnya menerusi usaha yang dijalankan oleh Yayasan Restu.

“Ini kerana sasaran kita selain menterjemahkan al-Quran ke dalam 30 bahasa, kita juga mahu pengedaran kitab suci ini dapat dilakukan di negara-negara yang mana umat Islam merupakan masyarakat minoriti.

“Pengalaman saya bersama Yayasan Restu dan Kompleks Nasyrul Quran ketika kita mengedarkan mushaf al-Quran ini di negara-negara itu, sambutannya sangat menggalakkan lebih-lebih lagi apabila ada umat Islam di negara minoriti yang terpaksa berkongsi hanya satu al-Quran untuk sebuah keluarga,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Waqaf Al-Quran ke-19 Peringkat Kebangsaan di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 03 FEBRUARI 2026.

Beliau berucap pada Majlis Wakaf al-Quran Ke-19 Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Nasyrul Quran di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyeru para pempegaruh di media sosial supaya menggunakan pengaruh mereka dalam menyumbang kepada usaha mewakafkan al-Quran.

Ujar beliau, para pempengaruh di media sosial khususnya TikTokers boleh mengajak pengikut masing-masing untuk menyumbang sekurang-sekurang senaskhah al-Quran, sekali gus bersama-sama mengajak ke arah keberkatan.

“Dengan adanya dua tanpa sempadan hari ini serta jaringan komunikasi yang baik, maka para pempengaruh boleh menggunakan peluang itu khususnya menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi untuk mengajak pengikut mereka bersama-sama menyumbang kepada program wakaf al-Quran ini,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast