KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima 82 laporan kes kebakaran hutan pada bulan Januari tahun ini berbanding sembilan pada tempoh sama tahun lepas.
Pengarahnya, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 65 kes kebakaran belukar dan lalang, 10 kes kebakaran sampah dan tujuh kes kebakaran hutan.
“Kita telah mendapat laporan kejadian pertama tahun ini pada 23 Januari lepas di kawasan Tanjung Gemuk, Kuala Rompin yang melibatkan kebakaran seluas 2 ekar. Kemudian di Sungai Miang, Nenasi.
“Semalam kita terima laporan kebakaran hutan seluas 20 ekar di kawasan jalan muadzam Shah-Rompin yang dikendalikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Tahunan Bagi Tahun 2026 JBPM Pahang di sini hari ini.
Menurut Mohd Razam, meskipun masih berada dalam musim Monsun Timur Laut (MTL), cuaca panas ditambah tiupan angin kuat menyebabkan trend kebakaran hutan khususnya kawasan tanah gambut semakin kerap berlaku.
“Jadi, nasihat saya kepada pengusaha-pengusaha yang terlibat industri pertanian agar tidak membuat sebarang pembakaran terbuka dengan keadaan cuaca yang nampaknya dah semakin panas,” tambahnya.
Dalam pada itu, Mohd Razam berkata, pihaknya telah mengesan lapan titik panas yang melibatkan kebakaran hutan dan belukar di tiga daerah di negeri ini.
Enam lokasi kebakaran yang dikesan di Temerloh melibatkan kawasan Kemajuan Tanah Meh, Ladang Kemasul, Kampung Bukit Relang dan Kampung Paya Laman.
Manakala dua lagi membabitkan daerah Pekan di Ladang RISDA Kampung Mempelas dan Kampung Bukit Raka, Bentong. – MalaysiaGazette
















