KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengemukakan sebanyak 5,409 permohonan kepada penyedia platform digital bagi menurunkan kandungan berbentuk pemalsuan imej dan ‘deepfake’ sejak 2022 hingga Januari lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,955 kandungan atau 92 peratus berjaya diturunkan.
Beliau berkata, penyebaran kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) semakin membimbangkan kerana berpotensi mengelirukan orang ramai serta mencetuskan penipuan.
“Perkembangan pesat teknologi AI mempercepat penciptaan kandungan manipulatif dan palsu,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, MCMC turut mengemukakan hampir 60,000 permohonan penurunan kandungan palsu dalam tempoh sama, dengan kadar kejayaan 87 peratus.
Fahmi berkata, tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
“Individu yang menyebarkan kandungan palsu untuk tujuan penipuan boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang menyediakan peraturan tambahan termasuk cadangan pelabelan kandungan AI dan deepfake bagi membantu pengguna mengenal pasti bahan yang mengelirukan.
Dalam isu kandungan lucah dan songsang, Fahmi memaklumkan lebih 76,000 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan sejak 2022, selain menyekat 4,841 laman web.
Menyentuh kebebasan media, beliau menegaskan kerajaan menghormati hak bersuara rakyat, namun ia perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.
Dalam aspek infrastruktur digital, Fahmi berkata liputan internet negara kini mencapai 99.71 peratus hasil pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan JENDELA Fasa 2 akan diteruskan bagi kawasan luar bandar. -MalaysiaGazette















