KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan memberi pendidikan percuma termasuk mengecualikan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mencapai keputusan cemerlang.
Menurut Perdana Menteri, ia selari dengan pendirian yang mana pendidikan kepada rakyat sepatutnya diberikan pada tahap semurah mungkin dengan kemudahan pendidikan diberikan kepada semua yang memerlukan bantuan.
Bagaimanapun, ujar beliau, PTPTN ketika ini menanggung beban kewangan sehingga RM10 bilion, sekali gus usaha memberi pendidikan percuma itu perlu dilakukan secara berperingkat.
Menurutnya, seperti mana yang dijelaskan sebelum ini, pendidikan percuma itu ketika ini hanya diberikan kepada kira-kira 10,000 pelajar miskin dan benar-benar memerlukan bantuan.

“Dan saya bincang juga dengan Kementerian Kewangan untuk mencari jalan bagi meningkatkan lagi bantuan untuk pelajar-pelajar miskin.
“Betul, itu boleh juga dipertimbangkan (pengecualian bayaran balik PTPTN kepada pelajar cemerlang).
“Tapi dalam situasi kita berdepan masalah pada sekarang ini (beban kewangan PTPTN), kita cuba selesaikan perkara ini mengikut peringkat,” katanya pada program Temu Anwar Bersama Pelajar Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) di sini hari ini.
Anwar menjawab soalan seorang pelajar universiti berkenaan sama ada kerajaan bersedia memberikan pengecualian bayaran balik PTPTN kepada pelajar termasuk di IPTS yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Menurut pelajar yang dikenali sebagai Xiao Xuan itu, ini kerana bukan semua mahasiswa termasuk yang menuntut di IPTS datang daripada keluarga berkemampuan.
Tambah Anwar, disebabkan itu juga, Kerajaan Madani di bawah kepimpinannya begitu tegas dalam membanteras amalan rasuah khususnya dalam mendapatkan semula dana kerajaan yang tiris atau hilang.
Sebagai contoh, ujar beliau, kerajaan pada tahun lalu berjaya menyelamatkan kira-kira RM15.5 bilion dana tersebut yang sepatutnya digunakan untuk manfaat rakyat termasuk dalam aspek pendidikan dan kesihatan.

Sementara itu, Anwar pada majlis berkenaan turut menyerahkan replika cek geran daripada kerajaan berjumlah RM40 juta kepada TAR UMT yang diterima pengurusan universiti berkenaan termasuk Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Pendidikan TAR UMT, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Serentak itu, Anwar turut mengumumkan lanjutan pengecualian cukai bagi tempoh 10 tahun lagi kepada Yayasan Pendidikan TARC yang mana pengecualian cukai itu sudah berakhir Disember lalu. – MalaysiaGazette
















