Perhilitan laksana operasi translokasi 3 gajah liar berhampiran Felda Bukit Sagu 1, Kuantan secara berperingkat

KUANTAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah melaksanakan operasi pemindahan tiga ekor gajah jantan liar yang dikesan berhampiran Felda Bukit Sagu 1 di sini baru-baru ini.

Ketua Operasi Perhilitan, Dady Mulyadi Rahmat berkata, translokasi itu dijalankan secara berperingkat bermula semalam bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk komuniti setempat.

Menurutnya, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Pahang berjaya menangkap tiga gajah liar terbabit pada 29 Januari dan 31 Januari lepas sebelum dipindahkan ke kawasan habitat yang lebih sesuai dan selamat.

Tiga ekor gajah liar dikesan berada berhampiran penempatan penduduk di Felda Bukit Sagu 1, Kuantan.

“Langkah pemindahan diambil susulan kehadiran gajah liar yang menghampiri rumah peneroka sekali gus berpotensi mengancam keselamatan penduduk.

“Penggunaan dua gajah denak betina iaitu Abot, 30 tahun dan Sanum, 23 tahun membantu melancarkan operasi pemindahan serta mengurangkan tekanan terhadap gajah liar yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dady Mulyadi berkata, pemindahan gajah liar berusia lingkungan umur 10 tahun hingga 25 tahun itu seterusnya akan dilaksanakan pada hari esok dan Sabtu.

Difahamkan, pencerobohan gajah liar ke kawasan penempatan penduduk di Felda Bukit Sagu 1 di sini semakin kerap berlaku sejak setahun lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast