KUANTAN – Seorang lelaki berusia 55 tahun membuat laporan polis hari ini setelah kerugian RM134,560 kerana diperdaya rakan kongsi perniagaannya.
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki tempatan yang menawarkan kerjasama dalam menjalankan perniagaan berkaitan pembinaan pada tahun lepas.
“Mangsa dikatakan telah menyediakan keseluruhan modal dan wang pusingan termasuk bagi tujuan pembelian sebuah kenderaan untuk kegunaan perniagaan.
“Sepanjang tempoh Jun sehingga Disember 2025, mangsa telah membuat sebanyak 27 transaksi kewangan melalui pindahan atas talian ke atas akaun syarikat milik suspek selain serahan tunai dengan jumlaj keseluruhan RM134,560,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Kim Wai berkata, mangsa yang merupakan seorang pesara mendapati suspek tidak membeli kenderaan seperti yang dijanjikan dan wang tersebut juga dipercayai telah disalahguna suspek.
Selain itu, katanya, mangsa turut mendapati bahawa suspek bersama keluarganya telah berpindah dan gagal dihubungi pada 7 Januari lepas serta dipercayai melarikan diri bersama wang milik mangsa.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek dan mengumpul keterangan berkaitan,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut menasihati orang ramai agar berhati-hati sebelum menyertai sebarang perkongsian perniagaan atau pelaburan. – MalaysiaGazette
















