JOHOR BAHRU – Sebanyak 9,000 unit rumah mampu milik Johor (RMMJ) akan dibina di Johor dalam tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ini bertujuan memastikan sasaran 30,000 unit RMMJ pada hujung tahun ini berjaya dilaksanakan.
Beliau memberitahu, sejak 2022 sehingga Disember lalu, kerajaan negeri telah menyiapkan sebanyak 20,212 unit RMMJ.
“Sehingga Disember 2025, kita telah menyerah kunci kepada 20,212 pemilik. Insya-Allah, projek ini berjalan mengikut masa ditetapkan untuk capai sasaran itu.
“Jumaat ini, kita akan melancarkan sebuah lagi projek RMMJ di Arena Larkin yang membabitkan 2,000 unit, ini adalah salah satu projek terbesar kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor Fasa 3 di Dewan PPR Sri Stulang, di sini hari ini.
Mohd Jafni berkata, daripada 9,000 unit RMMJ yang sedang dibina itu, 4,000 daripadanya terletak dalam kawasan ‘Greater Johor Bahru’ meliputi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Perbandaran Kulai.
Pada program Bantuan Kasih Johor Fasa 3 itu, beliau berkata, seramai 14,590 unit penerima menerima bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.91 juta.
“Bantuan Kasih Johor (BKJ) khusus kepada penghuni projek perumahan rakyat (PPR) dan rumah sewa kerajaan (RSK) sebagai sokongan langsung bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa pendekatan Kerajaan Negeri bukan sahaja tertumpu kepada pembaikan fizikal perumahan, malah turut merangkumi bantuan kebajikan bersasar bagi memastikan kehidupan penghuni PPR dan RSK lebih terjamin dan sejahtera,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















