Mangsa ditemui dalam keadaan selamat.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga British yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Batu Feringghi di sini, ditemui dalam keadaan selamat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hampir 11 jam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pukul 4.01 petang semalam berhubung kejadian itu.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah digerakkan ke lokasi dan menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat bersama PDRM, APM serta orang awam.

Mangsa dikenali sebagai Clarke Julian Francis, 63, berjaya dihubungi dan turut menghantar lokasi keberadaannya kepada pasukan penyelamat melalui aplikasi WhatsApp, sekali gus membantu mempercepatkan operasi SAR.

“Mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat sebelum dibawa turun ke kaki bukit untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.

Tambah beliau, laluan akses yang mencabar dan jauh dari kaki bukit menjadi cabaran buat pasukan penyelamat dalam SAR berkenaan.

“SAR ditamatkan sepenuhnya pukul 2.46 pagi hari ini selepas keadaan disahkan selamat. Operasi berkenaan melibatkan enam anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan bantuan BBP Teluk Bahang serta sebuah jentera LFRT dari Teluk Bahang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast