Mohd Jafni (tengah) menyampaikan Bantuan Kasih Johor Fasa 3 kepada penerima di Dewan PPR Sri Stulang, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Sembilan projek perumahan rakyat (PPR) di negeri ini sudah dilengkapi dengan Smart PPR.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tiga lagi dalam proses pemasangan yang dijangka siap pada April ini.

Katanya, kerajaan negeri melaksanakan inisiatif Smart PPR bertujuan meningkatkan tahap keselamatandan mengukuhkan pengurusan 12 PPR.

Antara inisiatif berkenaan katanya, merangkumi pemasangan pagar, pondok pengawal dan sistem kamera litar tertutup (CCTV).

“Smart PPR ini juga membantu pihak pengurusan membuat kutipan kadar sewa yang meningkat daripada 40 peratus pada 2021 kepada lebih 90 peratus pada 2025.

“Hasil pelaksanaan inisiatif Smart PPR, ia membantu sistem profiling terhadap setiap kenderaan yang masuk selain dapat mengenal pasti penghuni yang sudah membayar sewa dan mereka yang belum.

“Kerajaan negeri turut merekodkan peningkatan ketara dalam kadar kutipan sewa PPR dari RM2.2 juta pada 2021 kepada RM28.4 juta pada tahun lalu, ini satu peningkatan yang amat ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor Fasa 3 Kepada Peserta PPR/RSK Negeri Johor di Dewan PPR Sri Stulang, di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata, dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) memperuntukkan lebih RM154 juta untuk penyelenggaraan serta kerja-kerja naik taraf kemudahan asas.

“Kerajaan negeri terus komited memastikan kebajikan dan kualiti hidup penghuni PPR dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) sentiasa diberi keutamaan dengan memastikan kemudahan Awam dan infrastruktur berfungsi dengan baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast