KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan sembilan kontena (AS) yang mengandungi bahan buangan terjadual (e-waste) lebih 201 tan dalam pemeriksaan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dekat sini, pagi tadi.
Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, daripada jumlah itu, tujuh kontena didapati tidak diikrar secara sah untuk masuk ke Malaysia.
Menurutnya, kesemua kontena itu membawa dagangan yang menjadi larangan mengimport mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar yang mana lima daripadanya mengandungi e-waste, manakala empat lagi e-waste yang bercampur bahan buangan terjadual.
Tegas beliau, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kontena-kontena e-waste akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis dari Jabatan Alam Selangor (Selangor) dan JAS Pusat bagi tujuan re–export,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksaan itu turut disertai oleh SIRIM; polis; Lembaga Pelabuhan Klang dan JAS Selangor.
Menurut Nik Ezanee, AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang.
Dalam masa sama, ujarnya, AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette
















