PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri tayangan World Gala Premier filem Taj Mahal: An Eternal Love Story di IOI City Mall Putrajaya di sini malam ini.
Karya yang mengangkat kisah cinta agung Maharaja Mughal Shah Jahan dan isterinya, Mumtaz Mahal merupakan terbitan dan arahan sahabat lamanya, Akbar Khan yang juga pengarah filem terkenal dari India.
Anwar meluahkan rasa kagum dengan pembikinan filem epik itu yang kali pertama beliau menonton lebih 10 tahun lalu di mana inti patinya bukan hanya melangkaui naratif sejarah semata-mata namun menyelami emosi mendalam yang mendasari cinta, kesetiaan, kehilangan dan kedukaan.
“Satu hasil kerja yang hebat,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas tayangan berakhir
Turut hadir menyaksikan filem itu Menteri Komunikasi, Datul Fahmi Fadzil.

Filem Taj Mahal: An Eternal Love Story mengisahkan cinta abadi Shah Jahan dan Mumtaz yang menjadi inspirasi kepada pembinaan monumen ikonik, Taj Mahal di Agra, India.
Filem berskala besar itu menampilkan lokasi penggambaran asli di India dan sinematografi menonjolkan keindahan seni bina Mughal yang dibarisi pelakon ternama Bollywood seperti Kabir Bedi, Zulfikar Sayed, Manisha Koirala, Arbaaz Khan dan Sonya Jehan.
Karya itu mengangkat tema pengorbanan, cinta sejati dan warisan budaya sebagai penghormatan kepada satu daripada keajaiban dunia diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Filem ini mula ditayangkan pada 2005, pernah dianggap sebagai antara produksi Bollywood paling mahal pada zamannya, mempamerkan kekayaan sejarah dan seni bina India kepada dunia. – MalaysiaGazette

















