KUALA LUMPUR – Lebih 155,000 warga asing menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0), dengan kira-kira 138,000 daripadanya telah dihantar pulang ke negara asal, setakat ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, warganegara yang mencatatkan penyertaan tertinggi dalam program tersebut ialah Bangladesh, diikuti dengan Indonesia dan kebanyakan hadir atas kerelaan sendiri.
turut direkodkan hasil kompaun dikenakan kepada warga asing kini mencecah lebih RM77 juta sebagai hasil kepada negara.
“Kita juga sudah uar-uarkan program ini dari tahun lepas lagi dan mereka mengambil peluang untuk memastikan dapat pulang ke negara masing-masing, ditambah pula sudah hampir musim perayaan ini.
“Program ini masih lagi terbuka sehingga April dan warga asing yang berada di dalam negara ini melebihi tempoh sepatutnya ataupun tidak mempunyai sebarang visa dan permit yang sah diminta ambil program ini sebelum ditutu kerana anda akan dikenakan tindakan undang-undang selepas ia ditutup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan JIM di sebuah pusat beli belah di sini hari ini.
Menurutnya, hasil kompaun dikenakan kepada warga asing kini mencecah lebih RM77 juta.
Mengulas lanjut, Lokman menyifatkan jumlah penyertaan program tersebut adalah tinggi setakat ini dan menjangkakan angka tersebut akan terus meningkat menjelang tarikh akhir, berdasarkan trend program-program terdahulu.
“Dalam tempoh sekarang ini kita rasakan jumlah tu agak ramai dan kita jangkaan pada April nanti ia akan bertambah lagi sebab kita dapati di saat-saat akhir kebiasaannya pada program-program lepas makin nak habis, makin ramai,” jelasnya.
Untuk rekod, kerajaan telah melanjutkan PRM 2.0 yang dilaksanakan bermula 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026 khusus bagi Semenanjung Malaysia dan Labuan.
Di bawah program itu, PATI dikecualikan tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun mengikut kesalahan seperti kompaun RM500 bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas sah serta tinggal lebih masa, manakala kompaun RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Selain itu, setiap pemohon turut dikenakan bayaran RM20 bagi pengeluaran pas khas, manakala bagi kanak-kanak warga asing berusia di bawah 18 tahun, dikecualikan daripada kompaun, namun perlu membayar pas khas terbabit.
PRM 2.0 tidak terbuka kepada PATI yang disenaraihitam, mempunyai waran tangkap atau dikehendaki pihak berkuasa, termasuk mereka yang telah mendaftar PRM sebelum ini tetapi gagal membuat perjalanan keluar. – MalaysiaGazette
















