Seorang pekerja ladang maut selepas motosikal gerabak yang ditunggangnya kemalangan dalam kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Penggeli, Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Seorang pekerja ladang maut selepas motosikal gerabak yang ditunggangnya hilang kawalan dan kemalangan dalam kawasan ladang kelapa sawit Sungai Penggeli di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan yang mengorbankan G Letchimanan ,29, pada 6 petang hasil laporan orang awam.

“Sasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal sawit yang ditunggang mangsa secara bersendirian dan hilang kawalan sebelum kemalangan dalam kawasan ladang berkenaan.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat dan prosedur siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima hingga 10 tahun selain denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun.

Dalam pada itu, Yusof menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast