Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Gambar daripada Facebook Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (UniPSAS), di sini dijenamakan semula sebagai Universiti Al-Quran, sekali gus menjadikannya universiti al-Quran pertama di negara ini

Titah baginda, usaha memartabatkan agama Islam di negeri Pahang akan terus diperkukuh melalui pengukuhan institusi al-Quran, dengan penubuhan universiti berteraskan pengajian al-Quran sebagai teras utama.

Jelas Al-Sultan Abdullah, penjenamaan semula tersebut bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya menjadi simbol hala tuju yang jelas dalam menjadikan al-Quran sebagai mercu tanda pembangunan ilmu dan rohani negeri.

“Penjenamaan ini ibarat mengangkat mercu tanda di puncak negeri, agar jelas kelihatan arah yang dituju dan tujuan yang dijunjung,” titahnya menerusi laman rasmi Kesultanan Pahang hari ini.

Baginda dalam masa sama menzahirkan harapan agar Universiti Al-Quran ini bakal menjadi mata air ilmu yang tidak pernah kering dan mengalirkan kefahaman al-Quran ke segenap penjuru.

Baginda turut menaruh harapan Universiti Al-Quran itu dapat melahirkan ilmuwan, pendakwah dan pemimpin yang menjadikan wahyu sebagai pedoman.

Penubuhan universiti berkenaan juga titah baginda, mampu mengangkat Pahang Darul Makmur sebagai negeri ilmu yang diberkati dan dirahmati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast