Pengerusi IRAMA, Ayob Abd Majid (tengah) malam tadi telah menerima Anugerah Usahawan Muzik Terbaik 2025 anjuran Yayasan Uniti.

KUALA LUMPUR – Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) terus memperkukuh komitmennya dalam memperjuangkan nasib usahawan kecil dan penggiat muzik bebas (independent) melalui pelaksanaan inisiatif bimbingan strategik serta adaptasi teknologi masa hadapan termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).

Seiring landskap industri muzik global yang semakin mencabar dan kompetitif, IRAMA kini memfokuskan kepada pemerkasaan ekonomi pemain industri menerusi beberapa tonggak utama:
Pemerkasaan Usahawan Bebas IRAMA berperanan sebagai wadah utama memperjuangkan kedudukan usahawan kecil dan pemuzik bebas agar memiliki daya saing setara dengan pemain industri berskala besar.

“IRAMA memberi pendedahan menyeluruh berkaitan pengurusan hak milik intelek (IP), struktur royalti yang telus serta strategi penjanaan pendapatan agar setiap karya yang dihasilkan mampu memberi pulangan setimpal kepada penggiat seni,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, penggiat muzik dilatih untuk tidak hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan sebaliknya mempelbagaikan model perniagaan dalam ekosistem muzik digital termasuk platform penstriman, kandungan media sosial dan pemasaran global.

Mengulas mengenai perkembangan teknologi semasa, IRAMA kini tampil sebagai antara pelopor yang menggalakkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan ahli.

Integrasi AI dilihat bukan sekadar satu trend malah menjadi alat strategik untuk meningkatkan kecekapan penghasilan karya, produktiviti kreatif serta daya saing industri.

“Dengan bantuan AI, pemain industri boleh menghasilkan karya berkualiti tinggi dengan kos dan masa yang lebih efektif. Ini membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pemasaran strategik dan pengembangan perniagaan ke peringkat global,” katanya.

Sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan memperkasa keusahawanan muzik tanah air, Pengerusi IRAMA, Ayob Abd Majid malam tadi telah menerima Anugerah Usahawan Muzik Terbaik 2025 anjuran Yayasan Uniti.

Pengerusi IRAMA, Ayob Abd Majid malam tadi telah menerima Anugerah Usahawan Muzik Terbaik 2025 anjuran Yayasan Uniti.

Anugerah tersebut diberikan atas sumbangan signifikan TEAM IRAMA dalam membangunkan ekosistem keusahawanan muzik khususnya dalam memperjuangkan artis dan usahawan muzik bebas.

Menurutnya, IRAMA akan terus melaksanakan pelbagai program bimbingan, bengkel teknikal serta inisiatif pembangunan kapasiti bagi memastikan penggiat muzik tanah air kekal relevan, berdaya tahan dan tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dunia digital.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast