KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Mohamed Hanifah Abu Baker mendakwa akuan bersumpah (SD) dibuat oleh sesetengah pimpinan tertinggi parti itu dahulu bagi menjatuhkan presiden dan seolah-olah memberi gambaran untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

Beliau membuat dakwaan berkenaan menerusi video yang dimuat turun di akaun Facebook, Penerangan Bersatu Negeri Sembilan, 14 jam yang lalu.

“Saya ikrar tidak boleh benarkan lagi ramai pihak berusaha untuk terus mengelirukan parti. Sebab itu saya buat keputusan, buat video ini supaya jelas kepada semua ketua-ketua bahagian dan ahli parti bahawa memang wujud sejak sekian lama usaha mendesak presiden meletakkan jawatan dan mereka tidak bertanggungjawab ini mengambil alih parti Bersatu ini,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat turun di Facebook Penerangan Bersatu Negeri Sembilan

Terdahulu, Mohamed Hanifah juga mendakwa cuba diyakini untuk menandatangani SD dalam sebuah pertemuan dengan salah seorang pimpinan tertinggi Bersatu sebelum ini.

Namun beliau menolak kerana merasakan tindakan berkenaan tidak munasabah.

“SD itu nampak sopan tapi tujuan sebenarnya meminta Presiden meletakkan jawatan,” katanya lagi.

Malah beliau turut membidas seorang bekas Ahli MPT yang dipecat baru-baru ini kerana mendakwa SD adalah palsu sebaliknya hanya untuk menilai kesetiaan para pimpinan tertinggi itu kepada Presiden.

Menurutnya, tugas dan tanggungjawab Ahli MPT adalah menyokong kepimpinan presiden tanpa perlu mewujudkan SD berkenaan.

“Kalau SD yang diberikan kepada saya adalah yang palsu dan yang SD sebenarnya yang menyokong presiden. Kalau sudah sokong kita jalankan sahaja kerja kita tanggungjawab kita,” tambahnya.

Selain itu, Mohamed Hanifah turut mendakwa SD yang digerakkan pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai usaha untuk memastikan Bersatu tidak ada pada pilihan raya akan datang sekali gus melumpuhkan Perikatan Nasional (PN).

Adalah tidak logik mendakwa SD diwujudkan untuk menilai dan menduga kesetiaan Ahli MPT Bersatu kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, tugas dan tanggungjawab Ahli MPT adalah menyokong kepimpinan presiden tanpa perlu mewujudkan SD berkenaan.

“(Datuk) Wan Saiful (Wan Jan) bagitahu SD itu tidak betul dan adalah untuk menduga saya jujur atau tidak. Kerana dia kata, saya orang yang tidak boleh dipercayai. Tapi kurang bijak juga Wan Saiful ni walaupun nampak macam bijak.

“Kalau SD yang diberikan kepada saya adalah yang palsu dan yang SD sebenarnya yang menyokong presiden. Kalau sudah sokong kita jalankan sahaja kerja kita tanggungjawab kita.

“Dalam masa yang sama Wan Saiful adalah Ahli MPT jadi tugas utama adalah membantu presiden jadi tidak perlu pun SD menyokong presiden kerana tidak ada sebelum ini usaha atau tindakan pihak luar menjatuhkan presiden, kecuali tindak tanduk menggerakkan menjatuhkan presiden ramai ketua-ketua bahagian yang dihubungi Wan Saiful. Dia yang gerakkan,” katanya menerusi video yang sama.

Malah Mohamed Hanifah menyifatkan Wan Saiful cuba mengalihkan perhatian dengan membuat tuduhan bahawa dirinya ahli yang tidak boleh dipercayai.

“Sidang media Wan Saiful mengalihkan kesalahan kepada saya adalah sebab beliau sendiri tidak sangka SD itu akan bocor kepada saya dan saya serahkan kepada kepimpinan tertinggi,” katanya lagi.

Ujarnya, perwakilan, para Ketua Bahagian dan pimpinan tertinggi Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pada tahun lalu sepakat untuk memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin.

Namun, katanya, alasan yang diberikan Wan Saiful dilihat tidak selari dengan kesepakatan itu.

Sehubungan itu, Mohamed Hanifah menganggap Wan Saiful  sebagai individu yang bahaya untuk Bersatu.

“Kalau kita lihat pada PAT yang sudah perwakilan sebulat suara menyokong Presiden mengetuai parti hingga pilihan raya akan datang dan juga presiden merupakan calon PM (Perdana Menteri) tunggal daripada Bersatu.

“Jadi sebenarnya tidak betul Wan Saiful mengatakan SD diwujudkan untuk menyokong Presiden. Kerana dalam PAT sendiri mengatakan bahawa semua perwakilan menyokong Presiden.

“Sebab saya beritahu orang yang bernama Wan Saiful ini cukup bahaya untuk parti Bersatu dan tolong kepada kawan-kawan Ketua Bahagian janganlah percaya kata-kata Wan Saiful kerana beliau telah mendapat nikmat daripada Bersatu dan sekarang beliau cuba khianat kepada Bersatu,” tambahnya.

Oleh kerana kesetiaannya kepada Bersatu maka Hanifah sanggup mengambil risiko mendedahkan SD berkenaan diwujudkan dengan tujuan menjatuhkan presiden.

“Saya rasa ini bukan khianat (dedahkan dapat SD) tapi bertujuan menyelamatkan Bersatu dengan menyerahkan kepada pihak pimpinan satu supaya dibawa kepada pengetahuan presiden. Saya merasakan hari ini saya sebagai ahli Bersatu, Bersatu parti pertama saya dan angkat sumpah saya sebagai Ahli MPT,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast