Seramai 30 pelajar Semester 6 Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Interpersonal UiTM Shah Alam bersama pelajar Institut Pengajian al-Quran Ash Shura mempamerkan semangat “Netnobility” dalam usaha melahirkan komuniti digital yang lebih berintegriti dan bertanggungjawab.

MELAKA – Isu buli siber, penyebaran maklumat palsu serta budaya perbalahan dalam talian mendorong sekumpulan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam tampil dengan inisiatif pendidikan digital beretika dikenali ‘Netnobility’.

Program advokasi awam yang dilaksanakan pada 19 Januari lalu di Institut Pengajian al-Quran Ash Shura (ASIQS) Shah Alam; bertujuan memupuk nilai hormat, akauntabiliti dan integriti sebagai asas kewargaan digital dalam kalangan belia.

Inisiatif berkenaan dianjurkan oleh pelajar semester 6, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Interpersonal, kampus induk UiTM Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood berkata, pendidikan etika digital penting bagi membentuk ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan beradab.

“Memperkasakan pengguna muda untuk menjadi arkitek kepada ruang digital yang lebih baik adalah satu keperluan.

“Pendekatan secara langsung dan dipimpin pelajar membuktikan nilai hormat, akauntabiliti dan integriti boleh diterapkan dengan berkesan,” katanya ketika menyampaikan sesi perkongsian ilmu dan advokasi awam dalam program berkenaan.

Acara kemuncak perkongsian ilmu dan advokasi awam oleh Mediha meninggalkan kesan positif kepada para belia.

Menurutnya, pendidikan etika digital perlu disampaikan secara praktikal agar peserta mampu mengaplikasikannya dalam interaksi sebenar di media sosial.

“Program Netnobility menampilkan aktiviti interaktif termasuk simulasi senario dunia sebenar dalam talian, explorace etika digital serta permainan berpasukan.

“Melalui aktiviti tersebut, peserta didedahkan kepada kesan tingkah laku dalam talian seperti komen berunsur kebencian, perkongsian maklumat tidak sahih dan isu privasi,” tambahnya.

Sementara itu, ketua projek untuk subjek INC600 ini, Nor Fatihah Mustapha, 38, berkata pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman membantu mencetuskan perubahan pemikiran peserta.

“Kami mahu peserta mengalami sendiri maksud ‘netnobility’, iaitu membuat pilihan berkelakuan mulia dalam talian.

“Penyertaan aktif peserta menunjukkan golongan muda terbuka terhadap panduan positif dalam kehidupan digital,” katanya.

Program itu merupakan sebahagian daripada kerja kursus Public Advocacy and Civic Engagement (PACE) di bawah bimbingan Sharifah Yuliana Syed Ali Hanafiah dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam.

Netnobility diharap dapat dijadikan model pendidikan etika digital yang diperluaskan ke sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti lain, sekali gus menyumbang kepada pembinaan budaya dalam talian yang lebih harmoni dan bertanggungjawab. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast