Tangkap layar menunjukkan kebakaran berlaku yang dipercayai akibat letupan belon helium manakala gambar bawah keadaan pacuan empat roda MBPP akibat kejadian tersebut.

GEORGE TOWN – Anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang melecur dalam insiden belon berisi gas helium meletup ketika proses pelupusan di Lebuh Union di sini, pada 1 Februari lalu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran berkata, mangsa belum dibenarkan keluar hospital kerana kecederaan melecur pada kedua-dua tangan, badan dan muka memerlukan pemantauan lanjut oleh doktor.

Beliau berkata, bagaimanapun kecederaan dialami tidak memerlukan pembedahan tampalan kulit setakat ini.

“Mangsa masih menerima rawatan di HPP buat masa ini dan dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam masa terdekat.

“Keadaan anggota itu memang stabil daripada hari pertama kejadian cuma pemantauan perlu dibuat oleh doktor kerana kesan melecur itu pada tangan, badan serta muka,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Perkeso negeri di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Rajendran berkata, tiada tindakan diambil terhadap penjaja terbabit dan MBPP sedang meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengendalian belon berisi gas ringan.

“SOP memang kita kena tengok semula, terutama sekali dari segi penjualan belon dan gas yang digunakan kerana ada gas yang berbahaya dan ada yang tidak berbahaya.

“Memang larangan sedia ada, tetapi pemeriksaan di lapangan perlu diperketatkan termasuk memastikan jenis gas yang digunakan dibenarkan.

“Kita juga akan meneliti semula kaedah penguatkuasaan termasuk tindakan lanjut terhadap penjaja tanpa lesen bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Belon helium disita meletup, anggota MBPP cedera

Belon helium tiba-tiba meletup ketika anggota MBPP lepaskan gas

Media sebelum ini melaporkan anggota penguat kuasa MBPP cedera selepas belon berisi gas helium yang dirampas meletup sebelum mencetuskan kebakaran pada 1 Februari lalu.

Impak kejadian itu menyebabkan seorang anggota melecur pada kedua-dua tangan dan sebelah muka sebelum menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, manakala seorang lagi anggota cedera ringan dan berehat di rumah.

Rajendran menjelaskan kejadian berlaku ketika mereka sedang mencucuk belon yang dirampas bagi melepaskan gas, yang dilakukan di hadapan pejabat berkenaan tanpa kehadiran orang awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast