SUBANG JAYA – Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) bakal menganjurkan Piala Iseigur 2026 Ultimate Pickleball Battle di Dink Arena @ Avenue 25, USJ di sini pada 25 dan 26 April ini.
Presidennya, Khairul Rizam Abu Samah berkata, kejohanan julung kali itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000 dengan penyertaan kira-kira 900 peserta.
“Kejohanan itu bukan sekadar pertandingan, malah menjadi platform menggabungkan promosi sukan, pembabitan belia dan tanggungjawab sosial.
“Piala Iseigur bukan sekadar pertandingan sukan. Ia platform jangka panjang untuk menggalakkan penyertaan komuniti, memupuk gaya hidup sihat dan aktif serta menyelitkan elemen kebajikan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.

Khairul Rizam berkata, kejohanan ini terbahagi kepada enam kategori iaitu Beregu Campuran, Beregu Lelaki, Beregu Kanak-kanak 7-12 tahun, Beregu Campuran Pertengahan, Beregu Lelaki Pertengahan dan Beregu Wanita.
“Setiap penyertaan pasukan akan dikenakan bayaran yuran berjumlah RM300 dan slot kejohanan adalah terhad sehingga 900 peserta,” katanya.

Khairul Rizam juga berkata, pemilihan sukan Pickleball sebagai acara kejohanan kali ini bukan semata-mata kerana hadiah lumayan, sebaliknya untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat khususnya anak muda.
“Kita memilih lokasi ini (Dink Arena) kerana ia mempunyai 19 gelanggang pickleball, sesuai untuk dua hari kejohanan ini dan boleh memuatkan 900 peserta.
“Walaupun lokasi di Selangor, ia merupakan satu penganjuran julung kali MBWP dengan inisiatif Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) serta sokongan penganjur,” katanya.

Selain itu, memandangkan pickleball adalah sukan pantas, kemahiran tinggi dan menyeronokkan dengan peraturan mudah, penyertaan kejohanan ini terbuka kepada semua peringkat umur.
“Populariti sukan pickleball sedang berkembang pesat di seluruh dunia dan kini semakin mendapat perhatian di Malaysia.
“Kejohanan Piala Iseigur Ultimate Pickleball Battle 2026 dilihat sebagai langkah penting mempopularkan sukan itu di Malaysia, sambil memperkukuh perpaduan sosial dan membina komuniti yang lebih erat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















