KUANTAN – Pahang mula melaksanakan penggunaan Kod QR sebagai identiti murid di sekolah, merangkumi perekodan elemen adat dan budaya, pembentukan karakter murid dari rumah, serta pengurusan bayaran secara digital.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, pelaksanaan Program Adat dan Identiti Murid Negeri Pahang menyaksikan gabungan teknologi digital dengan pemerkasaan nilai, identiti dan jati diri murid berasaskan warisan negeri.
“Sistem QR ini sebenarnya serasi dengan sistem Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini dalam merekod sahsiah murid dan amalan baik. KPM buat keputusan tidak lagi merekod amalan baik dan fokus kepada disiplin sahaja.
“Jadi, ia boleh diadaptasi kepada semua sekolah sedia ada dimana kita melaksanakan ini secara bertahap. Kita tidak mahu ia menambah beban kepada guru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Adat dan Identiti Murid Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jaxer Digital Sdn Bhd, Datuk Abdul Razif Asmuni menjelaskan, projek itu dibangunkan untuk manfaat jangka masa panjang dalam ekosistem pendidikan.

“Kita nak galakkan menjelang tahun 2027, setia murid di Pahang ada identiti sendiri menggunakan lencana atau kad QR,” katanya.
Jelas Abdul Razif, melalui program ini, setiap murid akan mempunyai Kod QR identiti dalam bentuk lencana atau Kad ID yang digunakan bagi merekod penglibatan murid dalam aktiviti adat dan budaya negeri Pahang di sekolah, di samping menyokong pembentukan karakter murid di rumah dengan penglibatan ibu bapa.
Sistem yang sama turut menyelaras urusan bayaran seperti yuran dan koperasi sekolah secara lebih teratur dan cekap.
Inisiatif ini dijangka memudahkan pengurusan sekolah, memperkukuh hubungan sekolah dan ibu bapa, serta meletakkan Negeri Pahang sebagai perintis global dalam pendidikan berteraskan identiti negeri, adat dan budaya melalui penggunaan teknologi moden. – MalaysiaGazette
















