Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hafiz Ariffin.

KUALA LUMPUR – Polemik berkenaan isu binaan haram rumah anutan disebabkan kegagalan penguatkuasaan terhadap binaan haram tersebut serta ketiadaan konsistensi dalam pelaksanaan undang-undang.

Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, apabila penguatkuasaan dilihat bersifat `berpilih’ dan tidak konsisten, ia menampakkan kelemahan sistem serta mencetuskan persepsi bahawa undang-undang boleh dirunding bergantung kepada sentimen.

Dalam masa sama, ujarnya, isu itu tidak boleh dilihat secara simplistik dengan melabelkannya sebagai isu 3R (agama, kaum, raja) semata-mata hanya kerana ia melibatkan pembinaan rumah ibadat.

Sebaliknya, tambah beliau, fokus utama harus kembali kepada teras undang-undang iaitu apa jua binaan di atas sesuatu tanah mesti mematuhi asas perundangan dan kelulusan yang sah.

“Kebetulan kes yang berulang melibatkan kuil tidak menjadikan isu ini bersifat perkauman atau keagamaan.

“Jika rumah ibadat lain sekalipun dibina secara haram, ia tetap salah.

“Prinsipnya jelas, undang-undang mesti ditegakkan secara adil dan konsisten, tanpa pengecualian,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Sementara itu, Hafiz turut mengingatkan masalah sebenar dalam isu tersebut tidak akan selesai jika setiap pelanggaran undang-undang hanya ditutup dengan sentimen.

Menurutnya, tindakan seperti itu bukan penyelesaian, sebaliknya hanya penangguhan.

“Jangan pula pihak yang menegur kegagalan pengurusan dan penguatkuasaan ditunding atau ditangkap. Jika itu pendekatannya, maka undang-undang dan institusi penguatkuasaan sendiri kelihatan lemah dan defensif,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berpandangan Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang diadakan semalam harus dilihat melalui lensa kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik dan hak asasi, bukan emosi dan label sempit.

Semalam, polis mengesahkan menahan seramai 19 individu termasuk penyelaras GARAH, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak berhampiran kompleks beli-belah Sogo, di sini malam semalam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast