PUTRAJAYA – Rujukan undang-undang yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan pertuduhan di bawah Akta Hasutan, akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.
Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais berpuas hati, empat persoalan perlembagaan yang dikemukakan oleh Muhyiddin, boleh dijawab dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi ketika perbicaraan.
“Kami berpendirian untuk tidak menjawab keempat-empat persoalan tersebut pada peringkat ini. Panel menghantar semula rujukan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.
“Sebarang isu berbangkit boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi kelak,” ujar beliau yang turut bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah serta Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Terdahulu, panel berkenaan mendengar penghujahan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin atau nama sebenarnya, Mahiaddin Md. Yasin.
Pada peringkat itu, Hakim Abu Bakar menarik perhatian mahkamah agar pihak-pihak mempertimbang sama ada untuk meneruskan rujukan tersebut di hadapan panel berkenaan.
Menurut beliau, jika prosiding itu diteruskan di hadapan mereka, sebarang keputusan jika tidak memihak kepada Muhyiddin, akan mengikat dan harus diterima oleh Mahkamah Tinggi.
Sebaliknya, jika persoalan perlembagaan itu didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi, Muhyiddin mempunyai dua peluang untuk merayu iaitu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan jika keputusan tidak memihak kepadanya.
“Dengan merujuk ke Mahkamah Persekutuan, tidakkah ia membuang masa, walhal perkara ini boleh diselesaikan di peringkat bawah?
“Hakikatnya, apa-apa keputusan Mahkamah Tinggi (jika tidak memihak kepada pemohon), beliau masih boleh merayu di Mahkamah Rayuan dan seterusnya di Mahkamah Persekutuan.
“Peluang merayu tetap ada dan sebarang kekhilafan di peringkat Mahkamah Tinggi, masih boleh diperbetulkan di peringkat rayuan. Ketika ini, perbicaraan belum bermula dan saksi-saksi belum dipanggil memberi keterangan.
“Persoalannya, mana yang lebih baik bagi pemohon? Mahkamah Tinggi kena ikut keputusan Mahkamah Persekutuan atau lebih baik persoalan tersebut ditentukan sendiri tanpa perlu terikat,” ujar beliau.
Hakim Abu Bakar kemudian menangguhkan prosiding seketika bagi membolehkan pasukan peguam berbincang dengan Muhyiddin bagi menentukan hala tuju prosiding tersebut.
Ketika mahkamah bersidang semula, Amer Hamzah memaklumkan, pasukan peguam tidak berhasrat untuk meneruskan rujukan perlembagaan di hadapan panel itu dan memilih agar persoalan undang-udang itu ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.
“Persoalan undang-undang yang dikemukakan itu mengandungi isu semasa yang perlu diselesaikan,” ujarnya yang hadir bersama-sama peguam Rosli Dahlan, Chetan Jethwani dan Joshua Tay.
Pada prosiding itu, responden diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd. Saad, Datuk Ahmad Sazali Omar dan Nadia Mohd. Izhar.
Sementara itu, Amer Hamzah memberitahu pihak media, pengurusan kes di Mahkamah Tinggi ditetapkan esok.

Pada 28 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhyiddin merujuk empat persoalan undang-undang itu selepas mendapati ia mempunyai kaitan langsung dengan perkara yang dipertikaikan.
Pada 4 Februari 2025, Muhyiddin, 78, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.
Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024, sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
















