KUANTAN – Polis mengesahkan penemuan rangka manusia oleh orang awam di dalam kawasan parit dan belukar berhampiran Flat Damai Taha di Mentakab semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, hasil siasatan awal di lokasi mendapati rangka manusia berkenaan dipercayai wanita berdasarkan pakaian yang ditemui.
“Rangka manusia itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHAS), Temerloh bagi tujuan proses bedah siasat yang akan dijalankan pada 10 Februari ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Nasyim berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kertas siasatan di bawah Mati Mengejut (SDR) telah dibuka sementara menunggu laporan penuh daripada pihak Forensik.
Beliau memohon kerjasama semua pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















